Wednesday, December 22, 2010

...in Freiburg (Bhgn 1) : Kisah Nenek Tua dan Merpati

Kisah ini berlaku minggu lepas ketika kami keluar ke bandar Freiburg. Kami melalui pasar tani di hadapan Munsterplatz, Freiburg untuk ke Migros. Dalam perjalanan, ternampak seorang nenek tua sedang memberi makan kepada burung-burung merpati. Maka berkerumunlah sekumpulan merpati menikmati rezeki pada pagi tersebut. Tentunya Zahra dan Danish sangat teruja melihat banyaknya merpati di situ. Kami berhenti betul-betul di hadapan si nenek yang sedang memberi makan kepada burung-burung itu.


Begitu asyik kami melihat nenek tua yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan makhluk Allah yang comel ini sedang insan-insan yang lain sibuk dengan urusan jual-beli di pasar tersebut. Tiba-tiba, berjalan seorang kanak-kanak lelaki bersama dengan bapanya. Kanak-kanak tersebut menerkam ke arah burung-burung yang sedang makan itu. Maka beterbanganlah burung-burung tersebut. Apalagi, bukan main marahnya nenek tua ni pada budak tu. Mungkin ini adalah apa yang nenek itu ucapkan:- "Woiii...budak! tak nampak ke burung ni tengah makan!". Si bapa tersenyum mungkin senyum malu sebab ramai yang mendengar nenek tersebut memarahi anaknya. Dia dan anaknya pun cepat-cepat beredar dari situ. Kemudian, datang pula kanak-kanak yang lain mengulangi perbuatan yang sama dan mengundang kemarahan nenek tua itu lagi.


Baru sahaja melepaskan kemarahannya kepada dua orang kanak-kanak kecil, kali ini seorang lelaki dewasa pula lalu ditengah-tengah burung-burung tersebut. Tidak kira orang muda atau orang tua, nenek tersebut naik angin dengan sikap manusia yang tidak tahu menghormati burung-burung tersebut. Maka sekali lagi dia melepaskan kemarahannya dengan menjerit ke arah lelaki dewasa itu.  Mendengar nenek tua itu berkata sesuatu padanya, maka lelaki itu kembali semula ke arah nenek itu dan bercakap sesuatu. Sempat juga Ezma mengambil beberapa keping gambar nenek tersebut. Agaknya apa pula isi pertengkaran nenek ini dengan lelaki ini.


Kami kemudian beredar ke Migros ketika mereka masih lagi bercakap-cakap di situ. Bila toleh ke belakang, rupanya ramai manusia lain yang menyaksikan gelagat si nenek ini sambil tersenyum. ;)

No comments: